Ruangan

Wednesday, June 16, 2010

Menghasilkan Wau Merak




PROSES-PROSES DALAM MEMBUAT WAU MERAK


Proses pertama iaitu mencari buluh.Mencari buluh bukanlah merumitkan. Buluh mestilah adalah buluh yang kering dan telah ditebang serta disimpan buat sekian lamanya. Ada yang berpendapat tempoh yang paling bagus untuk menyimpan buluh adalah satu bulan setelah ditebang.

Buluh boleh juga dibeli di kedai-kedai yang mengusahakan buluh contohnya kedai perabot atau kedai-kedai hardware yang menjual buluh untuk mengampai baju.
Setelah membersihkan buluh itu tadi denganmenggunakan kertas pasir,maka buluh pun dibelah kepada bahagian-bahagian kecil untuk proses meraut. Untuk membahagi kepada bahagian demi bahagian yang lebih besar hendaklah menggunakan parang. Akan tetapi jika mahu membahagikan kepada yang lebih kecil hendaklah menggunakan pisau belati.

Buluh yang telah siap dipotong akan diasingkan dan ditentukan bahagian mana yang akan dijadikan tulang belakang dan bahagian mana yang akan menjadi sayap.
Proses seterusnya adalah memotong perdu buluh dan meratakannya bagi memudahkan proses untuk meraut buluh.Jika buluh yang dikeringkan selama seminggu , perdunya mudah dipotong berbanding buluh yang telah disimpan untuk sebulan.
Seterusnya adalah proses meraut buluh. Meraut buluh memerlukan kain jeans sebagai pengalas peha, pisau tajam dan sarung tangan kain.Caranya adalah seperti ini, letak buluh di peha, tekan pisau dan hanya gerakkan buluh untuk meraut. Proses ini sukar jika seseorang tiada pengalaman untuk melakukannya sebelum ini.

Proses meraut perlu dilakukan dengan berhati-hati agar buluh tidak terlebih dipotong atau terpatah semasa diraut. Langkah seterusnya, setelah selesai meraut, buluh diukur bagi mengimbangi sama panjang bagi membuat sayap buluh. Sayap buluh hendaklah sama panjang bagi membuat ukuran melentur.Setelah itu, proses mengikat sayap buluh pun dilakukan. Penggunaan tali nilon halus berwarna putih biasa digunakan oleh pembuat-pembuat wau dikebanyakan tempat.

Setelah dicantum kedua-dua trangka sayap,maka seterusnya adalah menyantumkan sayap pada tulang belakang wau. Maka hasilnya adalah kelihatan seperti ini.Wau yang baik, jika sayap kedua-duanya dicantumkan akan melentur dengan seimbang dan sama panjang.Pada sayap wau juga amat sesuai dibuat takik untuk membuatkan ia lebih stabil. Buat tali yang meregangkan ia bersama-sama dengan tali di tengah-tengah sayap itu tadi.

Buat keseluruhan empat tali untuk menyokong badan atau sayap wau itu. Keseimbangan amatlah diperlukan agar tali tidak terlalu berselirat atau tidak kemas.
Hasilnya adalah rangka Wau Merak yang tampak sempurna. Pada setiap ikatan diletakkan gam putih agar lebih menguatkan lagi ikatan wau tersebut.

Untuk ekor Wau Merak,lentingan pada bahagian bawah adalah sangat penting untuk menunjukkan bahawa wau ini tidak sama dengan wau helang atau Wau Kenyalang dimana wau-wau tersebut pada bahagian ekornya adalah rata dan tidak memlentik seperti gambar dibawah. Caranya iaitu dengan menggunakan lighter, bakar bilah buluh di bahagian bawah ekor wau merak tersebut hingga lentik. Maka hasilnya adalah seperti lentingan pada kedua-dua bilah ekor wau.

Seterusnya adalah proses menyobek wau.Proses ini memerlukan ketekunan dan ketelitian. Proses menyobek wau biasanya memakan masa selama sehari suntuk mengikut ketelitian seseorang.Proses menyobek biasanya dilakukan menggunakan pisau khas iaitu mata yang tajam dan runcing.Kadangkala ada juga menggunakan pisau yang batangnya seperti pen.Apapun pisau yang digunakan,pisau itu mestilah tajam dan tidak berkarat.

Proses ini juga amat rumit kerana kita perlu memotong sebanyak empat lapisan dengan kemas dan jika dipertandingkan,juru markah akan menilai kekemasan pada setiap potongan serta kreatf mencipta corak Apabila telah selesai menyobek, kita dapat lihat hasilnya apabila dibuka keempat-empat belah bahagian kertas warna itu .Setelah itu,mula menghias dengan warna-warna dari kertas warna lain di belakang wau dengan menutupi bahagian-bahagian yang dikehendakinya saja.Contohnya warna daun diletak hijau dan lada hitam diletak ungu.

Bahagian ekor pula dibuat proses yang sama sepertimana bahagian badan wau. Bezanya badan wau perlu dilipat empat. Tetapi bahagian ekor pula hanya dilipat dua sahaja. Proses yang sama dilakukan juga serupa dengan proses menyobek serta menampal seperti di badan wau.

No comments:

Post a Comment